Saturday 26 November 2011

Kuliah Subuh di Surau Al-Irfan UMT.

TAJUK: MUHASABAH DI AMBANG TAHUN BARU HIJRAH 1433H
Firman Allah dalam surah Al-Mujadalah ayat 11; Allah mengangkat darjat orang-orang yang beriman dikalangan kamu dan juga yang menuntut ilmu, dan Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Daripada Abu Darda’, bawasanya beliau mendengar Rasulullah bersabda ”Sesiapa yang berjalan semata-mata kerana ingin menuntut ilmu, Allah akan permudahkan jalannya ke syurga dan Sesungguhnya para malaikat menguncupkan sayap-sayapnya kepada orang yang menuntut ilmu kerana meredhai apa yang dibuatnya, dan sesungguhnya seseorang yang mengajarkan kebaikan akan dimohon ampun oleh makhluk yang ada di langit mahupun di bumi hingga ikan yang berada didalam air.Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar (wang) tidak juga dirham, yang mereka wariskan hanyalah ilmu, dan barangsiapa yang menuntut ilmu itu. maka sesungguhnya dia telah mendapat bahgian yang paling banyak”
(hadis sahih, diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Dawud, Attarmizi, Ibnu Majjah dan Ibnu Hibban)

Sidang Muslimin dan Muslimah Yang Dirahmati Allah,
Tahun hijrah merupakan tarikh yang amat penting kerana ia telah memahat sejarah agung perjuangan Rasulullah  s.a.w di peringkat awal Islam. Hijrah juga menjadi lambang perubahan dan  memberi makna yang cukup besar kepada pembangunan tamadun umat Islam.  Maal Hijrah yang saban tahun kita sambut dan raikan sebenarnya perlu difahami dan dihayati agar kita dapat memenuhi tuntutannya dan beriktibar daripadanya.
Hijrah dari sudut bahasa bermaksud meninggalkan  atau berganjak menjauhi sesuatu. Sesuai dengan maksud kalimah ini, hijrah sebenarnya menuntut kita bergerak meninggalkan suatu daerah atau keadaan yang buruk untuk beralih ke suatu keadaan yang lebih baik. Inilah yang dimaksudkan oleh hadis Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang diriwayatkan Imam Ahmad daripada Abdullah bin Amru, Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Sesungguhnya orang yang benar-benar berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan perkara yang ditegah oleh Allah S.W.T”.
Semua ini perlu digerakkan dan dipandu dengan penuh sedar dan keinsafan. Oleh itu, untuk menghayati tuntutan dan iktibar dari peristiwa hijrah, kita perlu merenung jauh ke dalam diri sendiri dengan bermuhasabah.
Para sahabat muslimin dan muslimah sekalian,
Muhasabah diri adalah suatu usaha murni yang dapat mengembalikan manusia ke landasan kehambaan. Apatah lagi dengan kehadiran tahun baru hijrah ini, kita merasakan banyak perkara yang perlu dilakukan,  dimulakan dan dijayakan. Muhasabah amat perlu dibuat bagi menjamin sesuatu yang baik yang diimpikan menjadi kenyataan.

Justeru itu, perlu difahami bahawa muhasabah diri yang perlu kita lakukan terbahagi kepada dua bentuk;
Pertama : Muhasabah sebelum bertindak. Ia dilakukan sebaik saja timbul niat dan keinginan untuk berbuat sesuatu. Muhasabah ini akan membantu kita membuat keputusan yang tepat dan bijak samada untuk meneruskan niat bertindak atau membatalkannya. Maka apa juga yang kita rancang untuk tahun baru ini pastikan kita mulakan dengan muhasabah sebelum kita memulakannya. Beruntunglah mereka yang sentiasa membudayakanmuhasabah sebegini di dalam hidupnya. Imam Hasan alBasri Rahimahullah pernah berkata :
“Semoga  Allah merahmati seorang hamba yang mampu berhenti berfikir sebelum melaksanakan kehendaknya, jika kehendaknya itu kerana Allah dia akan melaksanakannya dan jika kerana selain Allah dia menghentikan niatnya”.
Ternyata orang-orang yang dikurniakan dengan ingatan untuk bermuhasabah sebelum bertindak ini adalah orang-orang yang mendapat kasih dan rahmat Allah SWT di dalam hidupnya.
Kedua : Muhasabah setelah bertindak. Ia berbentuk kajiselidik dan analisa terhadap apa yang telah kita lakukan. Ia meliputi muhasabah tentang ketaatan yang kita engkari, tentang larangan yang kita cerobohi,  juga tentang kesempurnaan dan kekurangan, keuntungan dan kerugian hasil dari tindakan yang telah kita lakukan khususnya sepanjang setahun lalu. Semua ini akan membentuk kekesalan dan keinsafan lalu menerbitkan azam untuk bertindak lebih baik di masa-masa hadapan. Kedua-dua bentuk muhasabah ini adalah amalan yang perlu dilakukan oleh setiap muslim dan muslimah di dalam kehidupan mereka.  Sempena dengan kehadiran tahun baru Hijrah, amalan ini wajar kita  laksanakan dengan sempurna. Jika selama ini kita belum pernah melakukannya, maka mulakanlah dari sekarang. Sebagai pendorong kita untuk  sentiasa bermuhasabah dan bermujahadah, renungkanlah firman Allah SWT dalam
surah Ali  -Imran ayat 30 yang bermaksud:
“(Ingatlah)  pada  hari itu (kiamat  yang padanya) tiap-tiap seorang akan mengetahui segala apa yang telah dikerjakannya (sama ada) berupa kebaikan yang dihadapkan ke hadapannya dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya. (Pada ketika itu) tiap-tiap orang (yang bersalah) inginkan kalau ada jarak yang jauh di antaranya dengan amal kejahatannya itu. Allah memperingatkan kamu kepada diri-Nya (kemurkaan-Nya). (Ingatlah juga) Allah Maha Penyayang terhadap hamba-hamba-Nya”.
Muslimin dan muslimat Yng dirahmati Allah sekalian,
Untuk memperjelaskan bagaimana proses muhasabah hijrah ini dilaksanakan, berikut dibentangkan kaedah muhasabah yang disusun secara berperingkat sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Ibnu alQayyim Rahimahullah :
Pertama : Mulakan muhasabah diri dengan mengenang semua kefarduan yang wajib ke atas kita untuk menyempurnakannya. Jika ada yang masih diabaikan berazamlah untuk menyempurnakannya.
Kedua : Muhasabah diri terhadap maksiat, kemungkaran dan tegahan  syariat yang kita lakukan. Jika ternyata kita masih terlibat dengan semua ini, bertaubat  untuk beristighfarlah dan kembali kepada ketaatan.
Ketiga : Muhasabah diri terhadap kelalaian dan kealpaan. Kembalilah kepada Allah dengan usaha-usaha mengigati-Nya dengan solat  berjemaah, mendengar tazkirah, berzikir dan membaca al-Quran.
Keempat : Muhasbah pada seluruh anggota tubuh kurniaan Allah; lidah, kaki, tangan, mata, telinga dan  anggota lain. Apakah semua nikmat ini masih kita gunakan untuk membina kepuasan nafsu dan dosa kemaksiatan? Adakah telah kita gunakan untuk memburu keredhaan
Allah? Jika masih jauh daripada watak kehambaan, marilah kita kembali ke pangkal jalan, memujuk diri untuk mempersembahkan ketaatan dan kesyukuran, selagi hayat dikandung badan.
Ingatlah bahawa tahun demi tahun yang berlalu pergi adalah realiti usia kita kian menuju ke penghunjungnya, yang setiap detik dimamah peredaran masa. Tahun baru yang hadir ini belum menjanjikan apa-apa sekiranya kita masih hidup bergelumang dengan dosa. Hidup tanpa redha Allah di dunia ini hanya akan mengundang mala petaka dan kesengsaraan  yang kekal abadi di neraka. Lantaran itu, muhasabahlah  diri kita, bertaubatlah dari segala dosa, aturkanlah langkah-langkah kehambaan penuh kesetiaan pada Yang Maha Esa, agar kita beroleh  keberkatan di dalam kehidupan di dunia ini sebelum mendapat keredhaan Allah yang abadi di akhirat  kelak. Sesungguhnya Allah SWT menjanjikan pimpinan taufiq kepada hamba-hamba-Nya yang sudi menyelusuri jalan-jalan ketaqwaan dan kehambaan padaNya.
Firman Allah SWT dalam surah AlAnkabut ayat 69 yang bermaksud:
”Orang yang berusah dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah, bersama orang yang berusaha membaiki amalannya”.
Para sahabat yang dimuliakan Allah,
Usaha-usaha membangunkan kejayaan samada di dunia apatah lagi di akhirat perlu dimulakan dengan muhasabah. Dengan bermuhasabah, kita akan mengenali diri kita, kekuatan dan kelemahan, prestasi dankekurangan, keperluan dan kelebihan yang sedia ada di dalam diri. Muhasabah akan membuatkan kita bertambah bersedia untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan yang menjadi penghalang kejayaan. Di samping itu kita perlu membuka ruang-ruang dan mengatur langkah-langkah yang boleh membantu kita untuk kuat bermujahadah.
Antaranya ialah dengan terus mempertingkatkan ilmu dan kefahaman agama, melazimi akhlak yang mulia dalam pergaulan, berkawan dengan kelompok orang-orang yang baik, mengembalikan hak-hak orang kita zalimi di samping terus bertaubat kepada Allah SWT. Semoga kehadiran tahun baru hijrah 1433 ini akan benar-benar menganugerahkan kita sebuah keazaman dan kekuatan untuk membangunkan jiwa tauhid dan kehambaan kepada Allah ‘Azza wa Jalla hasil dari muhasabah yang dilakukan.
Sidang hadirian sekalian,
Mengakhiri kuliah subuh pada hari ini,  marilah kita renungkan intipati kandungan kuliah subuh ini untuk dijadikan pedoman, antaranya ialah;
Pertama : Hijrah yang memberi maksud berpindah ke suatu daerah atau keadaan yang lebih baik sewajarnya menjadi suatu iktibar agung yang perlu dihayati oleh seluruh umat Islam.
Kedua : Muhasabah di ambang Tahun baru Hijrah akan menjadikan kita insan yang sedar dan peka kepada tuntutan supaya menjauhkan diri daripada kemungkaran dan kemurkaan  Allah SWT kepada  berubah menjadi insan yang taat dan  mengharapkan  keredhaan Allah SWT.
Ketiga : Kita perlu yakin bahawa kita pasti akan dibantu dan dipandu dalam  melakukan usaha-usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Allah berfirman dalam surah at-Taubah, ayat 20-21.
“(Sesungguhnya) orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang yang hanya memberi minum orang yang mengerjakan haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang yang berjaya. Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredhaan serta syurga; mereka beroleh di dalam syurga itu nikmat kesenangan yang kekal”. 

Disediakan oleh:
Mohamad Syukran Ahmad Kamarudin
Exco Kerohanian dan Pembangunan Sahsiah MPP UMT 2011/2012 
27 November 2011                           

1 comment: