Friday 20 July 2012

Ahlan wa sahlan ya Ramadhan 1433H


Maksud Tarawih dari bahasa ialah berasal dari perkataan tarwihah yang bermaksud satu kali istirehat. Solat Tarawih pada istilah ialah solat sunat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas solat fardhu Isyak. Biasanya duduk berehat setelah mengerjakan empat rakaat solat sunat Tarawih, sebelum disambung semula. Hukum Solat Tarawih ialah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi orang-orang Islam lelaki dan perempuan. Oleh kerana itu keadaannya menjadi penyempurna bagi ibadat puasa yang wajib dan memang banyak pahalanya. Mereka yang mengerjakan ibadat puasa tetapi tidak mengerjakan Solat Tarawih pada malamnya, seolah-olah menjadi tawar dan hambar; berjaya tetapi tidak cemerlang. Sesungguhnya sangatlah ruginya mereka yang berpuasa Ramadhan tetapi tidak melengkapkannya dengan solat Sunat Tarawih. Kelebihan yang paling besar dikurniakan Allah swt kepada orang yang mengerjakan solat Tarawih. Sabda Rasulullah s.a.w. yang ertinya: “Sesiapa yang mendirikan solat (Tarawih) pada malam hari di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ikhlas, maka Allah mengampunkan segala dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Bukhari) Sejarah Solat Tarawih ialah bermulanya di Masjid Nabawi, ketika mana malam pertama Ramadhan Nabi Muhammad saw mengerjakan Solat Tarawih dan diikuti oleh sahabatnya yang berada di masjid tersebut. Malam kedua Nabi Muhammad saw mengerjakan lagi Solat Tarawih dan diikuti lebih ramai lagi para sahabatnya. Pada malam ketiga lebih ramai lagi para sahabatnya menunggu Nabi Muhammad saw untuk mengerjakan Solat Tarawih, tetapi Nabi Muhammad saw tidak hadir pada malam tersebut. Pada keesokkan harinya, para sahabat bertanya kepada Rasulullah akan hal tersebut. Rasulullah menjawab kuatir Solat Tarawih tersebut diwajibkan. Peristiwa ini berdasarkan Hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah ra bermaksud : "Pada suatu malam Nabi Muhammad s.a.w. solat dimasjid, maka para sahabat mengikuti solatnya. Pada malam berikutnya, Baginda s.a.w. solat lagi dimasjid dan para sahabat yang mengikutinya bertambah ramai. Lalu mereka berhimpun pada malam ketiga atau keempat, tetapi Nabi Muhammad s.a.w. tidak keluar kemasjid untuk solat bersama mereka. Pada sebelah paginya Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya aku melihat apa yang kamu kerjakan dan tidak ada sesuatu apa pun yang mencegah aku untuk keluar mengerjakan solat bersama kamu semua kecuali aku khuatir kalau- kalau kamu menganggap solat itu diwajibkan atas kamu." (Riwayat Muslim) Rakaat Solat Tarawih Ulamak dari empat mazhab bersepakat bahawa Solat Tarawih mempunyai 20 rakaat tidak termasuk dengan witir. Hujah ini berdasarkan kepada : Pada zaman Umar ibnu al-Khattab r.a. umat Islam mengerjakan Solat Tarawih dalam bulan Ramadhan sebanyak 20 rakaat. Hadith riwayat Imam Malik dalam kitab Al-Muwatta' . Yazid bin Rauman berkata: "Pada zaman Umar ibnu al-Khattab r.a. orang ramai mengerjakan Solat Tarawih sebanyak 23 rakaat.( 20 rakaat Tarawih dan 3 Rakaat Witir) Pendapat dari ulamak muktabar Tentang Rakaat solat Sunat Tarawih ialah : Syeikh Al-Dardir dalam kitabnya Aqrabul Masalik'ala Mazhab Al-Imam Malik mengatakan bahawa : "Bahawa Solat Tarawih itu 20 rakaat dilaksanakan selepas solat Isyak dan salam setiap dua rakaat selain witir.Solat Tarawih itu sunat dikerjakan dirumah jika masjid telah penuh dengan jamaah yang mendirikan Solat Tarawih. akan tetapi jika masjid kosong daripada Solat Tarawih maka yang lebih utama adalah masjid dengan berjama'ah." Imam Syafii dan Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa :“Solat Tarawih itu berjumlah 20 rakaat berdasarkan ijma para sahabat pada zaman Khalifah Umar al-Khattab. Imam Ibnu Abdil Bar menerangkan: "Sungguh benar adanya daripada Ubai bin Kaab bahawa beliau Solat Tarawih dengan 20 rakaat bersama umat Islam tanpa ada perselisihan pendapat daripada para sahabat." Ibnu Rusyd dalam kitab Bidayah al-Mujtahid berkata: "Imam Malik dalam satu riwayat mengatakan Imam Abu Hanifah, Imam al-Syafii dan Imam Ahmad memilih 20 rakaat selain witir." Imam Nawawi menerangkan: "Mazhab kami menetapkan bahawa Solat Tarawih berjumlah 20 rakaat dengan sepuluh salam selain witir. Ini terdiri daripada lima tarwihat (istirahat) dan satu Tarawih terdiri daripada empat rakaat dengan terdiri dua salam." Jelas daripada semua pendapat ulamak di atas mengatakan bahawa Solat Tarawih mengandungi 20 rakaat. Hal ini tidak menjadi masalah kalau ada orang yang tidak mampu mengerjakan 20 hanya mengerjakan 8 rakaat. Dalam hal ini juga tidak perlu dipertikaikan dan tidak perlu berbalah atas alasan Rasulullah tidak melaksanakan Solat Tarawih sebanyak 20 rakaat di masjid. Ini semua hanya masalah furuk sahaja dan tiada dalil yang mengaharamkan atau mewajibkan perbuatan tersebut. Bergantung kepada kemampuan semua orang, jika mampu laksanakan 20 rakaat, maka lakukanlah 20 rakaat, kalau tidak mampu cukup hanya dengan 8 rakaat sahaja.






Tuesday 3 July 2012

Syafaat Syaaban


Assalamualaikum kepada para sahabat yang dimuliakan Allah.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Pada malam ini saya tergerak hati untuk berkongsi ilmu  megenai Kelebihan Bulan Syaaban yang adanya Malam Nisfu Syaaban. 

Kini kita berada pada malam 14 Syaaban 1433H. Bulan yang mulia lagi berkat ini merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan dan keistemewaannya. Bulan Syaaban adalah masa untuk kita mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan dan persediaan untuk kita menghadapi bulan Ramadhan yang merupakan medan ibadah bagi umat Islam. Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Keutamaan bulan Syaaban di atas semua bulan itu, seperti keutamaan aku di atas semua Nabi dan keutamaan bulan Ramadhan itu di atas semua bulan ibarat keutamaan Allah SWT di atas semua hamba-Nya”. 

Bulan Syaaban adalah bulan  Rasulullah dan bagi kita sebagai umatnya berbagai ganjaran yang disediakan untuk setiap amalan bagi persediaan menghadap bulan Ramadhan. As-Syeikh Othman Ahmad Syeikh al- Khaubawi di dalam kitab Duratun Nasihin  menceritakan tentang amalan Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik: 

“Sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan laut dari sinar di bawah Arasy, lalu menciptakan satu Malaikat yang mempunyai dua sayap, satu sayapnya di timur dan sayapnya yang lain di barat, sedang kepalanya di bawah Arasy dan kedua kakinya di bawah lapis bumi ke tujuh. Apabila seseorang hambanya membaca selawat untukku di bulan Syaaban maka Allah SWT menyuruh Malaikat itu, supaya menyelam di air. Malaikat itupun menyelam, kemudian keluar dari dalam air serta mengibas-ngibaskan kedua sayapnya, sehingga bertitisanlah air dari bulu-bulu yang sangat banyak sekali. Maka Allah SWT menciptakan dari tiap-tiap titis air itu, satu Malaikat yang memohonkan ampunan bagi orang yang membaca selawat, sampai hari Kiamat.”

Sahabat yang dirahmati Allah,

Banyak hadith yang menceritakan tentang kelebihan bulan Syabaan ini antaranya ialah sebagaimana hadith yang diriwayatkan Imam al-Bukhari RA melalui Aisyah RAH yang bermaksud:

“Maka tidaklah aku melihat baginda SAW berpuasa selama sebulan melainkan pada bulan Ramadhan, dan tidaklah aku melihat baginda SAW memperbanyakkan puasa melainkan pada bulan Syaaban.” (Riwayat al –Bukhari)

Antara amalan yang amat digalakkan dilakukan dalam bulan ini ialah ibadah puasa. Amalan ini bolehlah dianggap sebagai satu amalan yang agak sukar kerana ia benar-benar menguji ketahanan mental, emosi dan fizikal seseorang. Bagaimanapun, inilah antara amalan yang banyak ganjarannya jika dilakukan dalam bulan ini. Ini bertepatan dengan sabda Rasullullah SAW apabila ditanya apakah bulan selepas Ramadhan yang terafdhal berpuasa. Nabi SAW menjawab bermaksud,“Bulan Syaaban kerana untuk mengagungkan Ramadhan”. Nabi SAW ditanya lagi, “Sedekah apakah yang terafdhal?”. Nabi SAW menjawab, “Sedekah dibulan Ramadhan.”(Riwayat at-Tirmizi)

Pada bulan Syaaban juga terdapat satu malam yang sangat dinanti-nantikan oleh umat Islam iaitu malam nisfu syaaban. Ini adalah kerana pada malam tersebut Allah SWT telah memberikan kelebihan kepada hamba-hambanya dan memberi keampunan kepada mereka kecuali yang syirik kepada-Nya. Sabda Rasulullah SAW menerusi hadithnya yang diriwayatkan oleh Ibn Majah RA daripada Abu Hurairah RA yang bermaksud:

“Allah SWT melihat kepada makhluk-makhlukNya pada malam nisfu syaaban lalu mengampuni makhluk-makhlukNya kecuali orang yang musyrik dan orang yang bermusuhan.” (Riwayat Ibn Majah)

Untuk mencapai kelebihan pada bulan ini maka umat Islam di anjurkan pelbagai ibadah antaranya: 
Pertama: Melakukan ibadah puasa sunat dan qiyamullail, Inilah ibadah yang paling diutamakan oleh Rasulullah SAW pada bulan yang mulia ini. Rasulullah SAW memperbanyakkan ibadah puasa sunat pada 15 terakhir bulan Syaaban. Ambillah peluang ini untuk membiasakan diri kita dengan ibadah puasa supaya ianya tidak menjadi keberatan apabila tibanya bulan Ramadhan. Melakukan Solat tahajjud dan solat sunat taubat amatlah ditekankan terutama pada malam Nisfu Syaaban. Inilah masa yang sesuai untuk diperbanyakkan berdoa memohon supaya diberi keampunan dan kerahmatan dari Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, lalu berqiyamullail pada malamnya, dan berpuasa di siangnya, maka sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia ketika matahari terbenam dan berfirman,“Adakah disana orang yang memohon keampunan, lalu Aku mengampunkan dia? Adakah di sana orang yang memohon rezeki, lalu Aku memberi dia rezeki? Adakah di sana orang yang di beri ujian bala bencana, lalu Aku menyejahterakan dia? Adakah di sana adakah di sana? sehingga terbit fajar.” (Riwayat ibn Majah)

Kedua: Memperkukuhkan tali silaturrahim sesama manusia. Hubungan sesama manusia amatlah penting kerana ianya bersangkutan dengan hubungan manusia dengan Allah SWT. Leraikanlah permusuhan sesama kita dan saling bermaafan kerana Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa manusia sesama manusia selagi mana mereka saling bermaafan. Sucikan diri dari perasaan dendam dan dengki sesama muslim sebelum tibanya Ramadhan supaya amal ibadah pada bulan yang berkat ini dapat dirasai kemanisannya. 

Ketiga: Beristiqamah melaksanakan amal ibadah dan kebajikan. Amal ibadah yang dilakukan secara berterusan akan menjadikan jiwa kita sentiasa tetap dengan pendirian. Beristiqamah membawa maksud sentiasa melakukan amal ibadah tersebut tiap-tiap hari walaupun hanya sedikit atau sekejap masa yang diambil untuk melaksanakannya. 

Keempat: Memperbanyakkan  memohon keampunan daripada Allah SWT. Ramai yang tidak menyedari bahkan alpa dengan segala dosa yang dilakukannya saban waktu. Dosa yang dilakukan semakin hari semakin bertambah terutamanya dosa-dosa kecil yang datang dari perbuatan manusia samada melalui percakapan, penglihatan, pendengaran dan perbuatan. Semua dosa ini sebenarnya telah menjadi titi-titik hitam di dalam hati yang menyebabkan hati menjadi semakin keras. Lebih membimbangkan, hati akan jauh dari petunjuk Allah SWT. Perbanyakkan berdoa dan memohon ampun  daripada Allah SWT kerana selagi pintu keampunan itu terbuka. Allah SWT berfirman di dalam surah Huud ayat 3 yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubatlah kepada-Nya; supaya Ia memberi kamu kesenangan hidup yang baik hingga ke suatu masa yang tertentu, dan Ia akan memberi kepada setiap orang yang ada kelebihan akan kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari Kiamat yang besar.”

Sahabat yang dirahmati Allah,

Mengakhiri perkongsian ilmu pada malam ini, saya menyeru kepada sahabat sekalian, marilah sama-sama kita mengambil peluang keemasan pada bulan yang mulia ini dengan melakukan ibadah kepada Allah SWT. Ia satu keadaan di mana kita berpeluang untuk mencari keredhaan Allah SWT dan menebus segala dosa di atas segala kesalahan-kesalahan lalu. Yakinlah bahawa manusia tidak akan sepi daripada melakukan dosa. Maka bulan yang mulia ini perlu dipelihara sebaik mungkin untuk mendekati diri kepada Allah SWT. Marilah kita semasa masih sihat, bertenaga dan ada peluang yang terbuka ini, untuk melakukan muhasabah diri, sentiasa bertaubat kepada Allah SWT dan membuat penilaian prestasi amalan setiap hari apakah amalan dan tingkah laku kita dengan Allah SWT dan hubungan sesama manusia selari dengan al-Quran dan al-Sunnah.  Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah al-An’am ayat 122 yang bermaksud:

“Dan adakah orang yang mati, kemudian Kami hidupkan dia semula, dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi untuk ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar daripadanya?Demikianlah diperlihatkan pula pada pandangan orang kafir itu akan keelokkan apa yang mereka telah lakukan.”

Wallahualam bissawab.


Saturday 16 June 2012

PERISTIWA ISRAK MIKRAJ


Assalamualaikum kepada para sahabat yang dimuliakan Allah.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Setiap tahun apabila tibanya 27 Rejab umat Islam diseluruh dunia akan mengadakan majlis sambutan peristiwa Israk dan Mikraj. Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Rasulullah SAW dari Mekkah ke Madinah.

Apabila bercakap pasal peristiwa Israk dan Mikraj ini, kita secara spontan akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah S.A.W bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada dua fasa.

01.Israk adalah perjalanan Nabi SAW menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.

02.Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh.

Perjalanan Rasulullah S.A.W ini telah diabadikan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra' ayat 1 yang bermaksud;
"Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidilharam ke Al Masjidilaqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."

Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah S.A.W hanya berlangsung pada satu malam.

Para ulama, hadis, ulama feqah dan ulama tafsir secara umum menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana kedua-duanya berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda SAW sedar. Ia berlaku pada jasad atau tubuh dan roh Nabi SAW bukannya roh sahaja. Sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah menegaskan "asra bi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad S.A.W yang mana meliputi batang tubuh dan rohnya serentak bukannya rohnya sahaja. Jika ia berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu firman Allah itu berbunyi "asra bi rohi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan roh hamba-Nya pada waktu malam tetapi yang berlaku sebaliknya di mana Allah secara jelas menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan hamba-Nya iaitu Nabi SAW dalam keadaan tubuh dan rohnya serentak.

Peristiwa ini pada pandangan orang yang tidak beriman atau mereka yang tipis imannya, mereka menyatakan bahawa peristiwa ini tidak mungkin akan berlaku atau pun mereka berbelah bahagi samada mahu mempercayainya atau pun sebaliknya. Tetapi bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasul-Nya maka mereka tetap percaya dengan penuh keimanan kepada peristiwa ini.

Setelah baginda S.A.W menceritakan apa yang telah terjadi padanya kepada masyarakat umum maka orang-orang kafir bertambah kuat mengejek dan mendustakan baginda S.A.W. Fitnah terhadap baginda S.A.W bertambah kuat malah ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah memeluk Islam telah pun murtad kembali. Manakala bagi mereka yang begitu membenarkan baginda S.A.W maka iman mereka tetap utuh sebagaimana kita lihat kepada reaksi Sayyidina Abu Bakar apabila dia mendengar berita daripada orang ramai tentang apa yang telah diberitahu oleh Nabi S.A.W lalu beliau dengan tegas menyatakan :

"Benar! Aku menyaksikan bahawa engkau merupakan Rasulullah. Jika baginda S.A.W mengatakan bahawa baginda telah diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman kepadanya". Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi Sayyidina Abu Bakar dalam mempercayai Allah dan rasul-Nya sehingga beliau digelar as-Siddiq yang membawa maksud pembenar.

Selain itu, pernah juga diriwayatkan Rasulullah S.A.W berjumpa dengan pelbagai keadaan manusia ketika di dalam perjalanan tersebut. Meskipun kisah tentang peristiwa bersejarah ini seringkali diulangcerita oleh para penceramah setiap kali sambutan Israk dan Mikraj diadakan, saya melihat roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih tidak meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam.

Sahabat yang dimuliakan,

Sebelum berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah S.A.W mengalami pembedahan dada/perut oleh Jibril A.S. Hati Baginda S.A.W dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu. Betapa hebatnya ciptaan Allah dengan 500 sayap Jibril A.S dapat membelah dada Rasullullah S.A.W. Subhanallah..

Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):

Sepanjang perjalanan (Israk) itu Rasulullah S.A.W diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

01.Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah,

02.Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah,

03.Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan),

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.

Antara peristiwa-peristiwa adalah seperti berikut :

01.Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

02.Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

03.Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

04.Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

05.Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.

06.Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.

07.Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

08.Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

09.Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

10.Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

11.Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12.Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.

13.Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Subhanallah..

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan
sembahyang dua rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah S.A.W memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah S.W.T );

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Di Langit Pertama: Rasulullah S.A.W dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

Di Langit Kedua: Nabi S.A.W dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

Di Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.

Di Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.

Di Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

Di Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

Di Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W, Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah umat akhir dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu.

Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". MasyaAllah tabarakallah..

Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

Di Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

Di Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

Di Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah SWT : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.
Allah SWT : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.
Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj:

Rasulullah S.A.W turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.
(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa'id)

Sahabat yang dikasihi dan dimulaikan Allah,

Tuntasnya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah S.W.T dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Dengan kita mendengar dan menghayati kisah dan cerita yang berlaku di dalam peristiwa Israk dan Mikraj kita perlu ambil ikhtibar dan yakin bahawa bumi Baitulmaqdis Palestin yang menjadi tempat bermulanya Mikraj Nabi SAW adalah bumi penuh berkah dan terdapat Masjidil Aqsa (kiblat pertama umat Islam)

Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa adalah harta umat Islam yang telah dirampas oleh Zionis Yahudi laknatullah. Umat Islam perlu berusaha, berkorban dan berdoa semoga tempat suci umat Islam ini dapat dipulangkan kembali kepada pangkuan umat Islam. Peristiwa Israk dan Mikraj akan lebih bermakna apabila umat Islam seluruhnya dapat membantu saudara-saudara kita di Palestin dan dapat memulihkan dan menguasai Baitulmaqdis dan menghalau Yahudi laknatullah daripada menguasai dan membunuh saudara-saudara kita di Palestin.

WALLAHUALAM..
- Artikel iluvislam.com

Wednesday 2 May 2012

Peggunaan Brunok (Molpadia Sp.) terhadap penghasilan daging burger


Tajuk: Peggunaan Brunok (Molpadia Sp.) terhadap penghasilan daging burger.

Objektif:

  1. Penghasilan daging burger dengan menggunakan Beronok.
  2. Sifat kimia burger diperbadankan dengan Bronok
  3. Penerimaan burger Beronok di kalangan masyarakat.

Pengenalan:

Brunok atau nama saintifiknya adalah Mopladia Sp. merupakan sejenis hidupan laut yang seakan-akan gamat dan hidup di kawasan perairan pantai yang berselut sejuk. Brunok dimakan mentah iaitu dijadikan sebagai kerabu dan merupakan makanan eksotik komuniti Melayu di Langkawi, Kedah.
Warna Brunok adalah coklat kehitaman (tua) atau merah jambu (muda) dan ciri-ciri fizikalnya kenyal dan elastic seakan-akan isi kelapa dan rasanya masin air laut. Brunok juga tidak boleh didedahkan kepada haba kerana ia akan menjadi cecair. Apabila dicairkan, Brunok akan meninggalkan cecair seperti air laut yang keruh berselut dan meninggalkan sedikit kesan bahagian badan yang tidak dapat dilarutkan oleh haba panas. Dalam keadaan cecair panas, terdapat pembentukkan jeli. Jika dibiar lama atau cecair menjadi sejuk, jeli yang terdapat akan hilang dan terlarut di dalam cecair air masin yang menyebabkan bau hanyir dan rasanya masin air laut.
Cara mencari Brunok agak mengelikan, tetapi ketahuilah bahawa ia merupakan makanan berkhasiat seperti gamat. Ianya boleh digunakan sebagai ubat luka ringan, sakit sendi, asma, radang paru-paru, tekanan darah tinggi dan kencing manis. Brunok juga sangat bagus untuk manfaat kesihatan kaum lelaki.
            Bagi penghasil berger bronok, kami ingin mengkaji sejauhmana terbentuknya sifat tektur, bau, warna, rasa, dan penerimaan daging berger bronuk yang akan dihasilkan bagi produk percubaan.


Kandungan Khasiat Brunok:

Selain daripada menjadi bahan asas bagi makanan, brunok memiliki nilai nutrisi yang tinggi dan sesuai sebagai bahan untuk makanan sejukbeku seperti penghasilan daging burger brunok. Ini adalah kerana brunok memiliki nilai protein yang tinggi dan rendah kandungan lemaknya. Protein pada brunok terdiri daripada 80% kolagen, mudah dicerna oleh enzim pepsin dan tidak mengganggu system pencernaan.




            Amino Asid:

Asid amino membekalkan nutrient bagi membina protein. Dalam molekul protein, asid-asid amino saling berikatan membentuk suatu ikatan peptida (-CONH-). Asid amino mempunyai 20 jenis yang terdiri daripada dua kategori, iaitu asid amino penting dan tidak penting. Asid amino penting adalah asid amino yang tidak dapat disintesis oleh tubuh manusia dan harus mendapat bekalan daripada bahan makanan seharian. Manakala asid amino tidak penting merupakan asid amino yang boleh disentisis oleh tubuh selagi bahan asasnya memenuhi keperluan bagi pertumbuhannya. Brunok kaya dengan asid amino, sama ada penting dan tidak penting. Di dalam tubuh, asid amino atau protein berfungsi sebagai zat pembangun, iaitu menyediakan bahan-bahan yang sangat berperanan dalam proses pertumbuhan dan pemeliharaan system tubuh badan. Otot, tulang, gigi, rambut, otak, jantung, sel darah, enzim, hormone, antibodi dan jaringan tubuh badan lainnya mengandungi protein. Selain daripada itu, protein berfungsi sebagai pengatur semua proses yang berlaku di dalam tubuh dan sebagai sumber tenaga jika karbohidrat dan lemak tidak dapat memenuhi keperluan tubuh.

            Mineral:

Mineral termasuk dalam golongan nutrien makro di dalam sistem tubuh. Brunok mengandungi mineral yang lengkap, antaranya ialah kalsium, natrium, fosfor, kromium, manganese, ferum, kobalt, zink dan vanadium. Mineral makro adalah mineral yang diperlukan dalam kuantiti lebih daripada 100 mg sehari. Jenis mineral bersebut adalah natrium, kalsium, kalium, klorida, fosfor, magnesium dan sulfur. Mineral mikro adalah mineral yang diperlukan tubuh dalam kuantiti kurang daripada 100 mg sehari. Jenis mineral bersebut adalah ferum, zink, iodine, selenium, vanadium, kromium, kuprum dan manganese.

            Mukopolisakarida:

Kandungan mukopolisakarida dalam brunok mencapai 10-16%.Mukopolisakarida atau glikosaminoglikan berperanan dalam pembentukan sifat kekenyalan pada tubuh brunok. Pada manusia, mukopolisakarida merupakan bahan pembentuk tulang rawan dan berperanan penting bagi mencegah terjadinya gangguan pada sendi.
  
            Kondroitin Sulfat dan Glukosamin:

Brunok digunakan sebagai sumber kondroitin sulfat. Produk kondroitin yang berada dipasaran bersumberkan tulang rawan atau sirip ikan yu. Kondroitin sulfat yang berasal daripada brunok pula berfungsi untuk mengurangkan rasa sendi akibat radang sendi. Brunok juga berpotensi untuk digunakan sebagai bahan untuk rawatan arthritis. Selain daripada itu, kondroitin juga berfungsi mengurangkan kesan serangan virus, contohnya di Australia. Saintis di Negara Jepun telah mempatenkan penggunaan kondroitin sulfat dalam brunok untuk terapi HIV.

            Omega 3:

Brunok juga mempunyai kandungan DHA (docosahexaenoic acid) dan EPA (eicosapentonic acid), di mana keduanya termasuk dalam kategori asid lemak omega-3. Asid lemak ini sangat berkesan sebagai bahan anti-penuaan. Omega-3 boleh menurunkan kolesterol tidak baik (LDL dan VLDL) di dalam tubuh dan dapat mengurangkan risiko penyakit jantung. Selain itu, ia berfungsi mencegah terjadinya pengumpalan darah, sama ada di arteri ataupun vena dan ini dapat mengurangkan risiko terjadinya penyakit ganguan kardiovaskular.

            Bahan Aktif:

i)             Saponin Glikosida:
Brunok telah menemui elemen saponin glikosida, menyerupai struktur bahan aktif kimia dalam ginseng, ganoderma dan lain-lain tumbuhan herba. Elemen inii sesuai untuk dijadikan bahan anti barah dan anti inflamasi.

ii)            Enzim Super Oxide Dismutase (SOD):
Brunok mengandungi bahan yang bersifat anti-oksidan yang mengawal radikal bebas. Ianya ialah enzim SOD. Keupayaan bahan anti-oksidan ini bergantung kepada jenis brunok.

iii)           Cell Growth Factor (CGF):
Penemuan unsur CGF pada Brunok telah memperkenalkan bahan ini yang bertangungjawab untuk merangsang proses regenerasi atau penjagaan pertumbuhan sel. Selain itu, CGF berperanan penting dalam mempercepatkan penyembuhan luka.

Kesimpulan:

Disebabkan brunok mempunyai khasiat dan manfaat yang tinggi dan juga bahannya murah dan kurang komersial, maka projek ilmiah tahun akhir memilih untuk menghasilkan burger brunok yang akan membantu menjaga dan meningkatkan kesihatan masyarakat dan penduduk Malaysia amnya.


Friday 13 April 2012

Kesan Susu Soya Terhadap Sistem Pembiakan Manusia



Tajuk: Kesan Susu Soya Terhadap Sistem Pembiakan Manusia.


Abstrak daripada
Mohamad Syukran bin Ahmad Kamarudin (UK19973)

Kacang soya semakin popular dikalangan pengamal makanan sihat sama ada dari negara barat mahupun timur khususnya masyarakat Negara Cina yang mula menggunakan kacang soya sebagai makanan kesihatan sejak 5000 tahun yang lalu dimana pengambilan terhadap susu soya dan tauhu. Kacang soya  juga kaya dengan bahan mineral seperti kalcium, sodium, magnesium, iron dan phosphorous. Selain itu, ianya juga kaya dengan pelbagai vitamin seperti vitamin A, B, C, dan D serta lecithin. Antara kesan susu kacang soya yang dibangkitkan adalah penyebab kemandulan kerana mengandungi hormon estrogen. Menurut kajian kesan pengambilan soya terhadap lelaki, pengambilan diet yang kaya dengan isoflavon soya untuk satu jangka masa panjang boleh mempengaruhi sikap dan tingkah laku lelaki tersebut. Isoflavon adalah bahan penambah semulajadi estrogen dalam protein soya. Purata kajian menunjukkan pengambilan lebih daripada 120mg isoflavon setiap hari sekurang-kurang setahun menunjukkan kesan perubahan. Pengambilan kurang daripada 100mg isoflavon sehari setiap hari selama setahun tidak menunjukkan apa-apa kesan ke atas serum seksual, isi padu zakar, atau kualiti air mani. Kajian dijalankan untuk mengkaji kesan phytoestrogen terhadap kesihatan reproduktif lelaki. Terdapat sekitar 20mg isoflavon dalam 1 cawan susu soya. Nama kimia bagi phytoestrogen adalah isoflavon. Phytoestrogen memiliki sifat seperti estrogen (sangat lemah), juga boleh bertindak sebagai anti-estrogen. Sifat anti-estrogen yang dimilikinya menjadi antara faktor soya digunakan dalam melawat kanser payu dara. Terdapat bukti menunjukkan lelaki vegetarian yang mengambil soya memiliki paras testosteron yang rendah sedikit, tetapi penjelasannya lebih kepada kurangnya pengambilan kolestrol dan bukan disebabkan pengambilan soya. Ada beberapa kajian yang cuba mengaitkan pengambilan soya dalam pemakanan akan mengurangkan kesuburan wanita. Kajian yang diterbitkan oleh  American Journal of Clinical Nutrition, menyebut  pengambilan soya yang tinggi akan memanjangkan kitar haid, mengurangkan FSH dan mengurangkan LH. Namun begitu kita harus faham bahawa kandungan soya yang terlalu tinggi sebegitu, mustahil diamalkan oleh kita. Kajian oleh American Family Physician dalam majalah rasminya memberitahu bahaya pengambilan soya dalam makanan tidak seharusnya dianggap punca utama kemandulan bagi lelaki dan wanita. Ini adalah kerana kemandulan mempunyai pelbagai sebab dan pengambilan soya hanyalah faktor kecil yang menyebabkan kemanduan itu. Kajian di American Journal of Clinical Nutrition menyatakan pengambilan soya tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesuburan, malah tidak menjejaskan peluang untuk mengandung dan melahirkan anak.

Outline:
Adakah soya dan produknya memberikan kesan pada kesuburan lelaki dan perempuan?

Soya dan hormone Estrogen:

Kacang soya adalah sumber protein dan sumber bagi hormone kesuburan wanita, estrogen. Namun begitu hormone wanita yang terhasil adalah sumber tumbuhan (plant-derived) yang dinamakan phytoestrogen dan ianya di’subclass’kan sebagai isoflavones. Isoflavone juga mempunyai beberapa jenis yang mempunyai kesan yang berbeza-beza. Walau bagaimanapun kesan phytoestrogen ini terlalu kecil jika dibandingkan dangan kesan hormone estrogen yang sebenar. Ia juga kadang kala memberikan kesan antiestrogen yang membantu gejala menopause dan menghentikan pertumbuhan sel-sel kanser.

Adakah soya memberikan kesan kepada kesuburan ?

Tidak ada banyak kajian mengenai ini. Namun ada yang berpendapat bahawa di negara pengeluar soya pun di mana pengambilan soya dalam diet pemakanan amat banyak sekali, kadar kelahiran tidak berkurang berbanding negara lain yang tidak mengamalkan pemakanan soya.Dalam erti kata yang lain, tiada kajian yang sah menunjukkan soya memberikan kesan kemandulan. Namun ada beberapa kajian yang cuba mengaitkan pengambilan soya dalam pemakanan akan mengurangkan kesuburan wanita. Kajian yang diterbitkan oleh  American Journal of Clinical Nutrition, menyebut  pengambilan soya yang tinggi akan memanjangkan kitar haid , mengurangkan FSH dan mengurangkan LH. Namun begitu kita harus faham bahawa kandungan soya yang terlalu tinggi sebegitu, mustahil diamalkan oleh kita.
Kajian oleh American Family Physician dalam majalah rasminya memberitahu bahaya pengambilan soya dalam makanan tidak seharusnya dianggap punca utama kemandulan bagi lelaki dab wanita. Ini adalah kerana kemandulan mempunyai pelbagai sebab dan pengambilan soya hanyalah faktor kecil yang menyebabkan kemanduan itu. Kajian di American Journal of Clinical Nutrition menyatakan pengambilan soya tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesuburan, malah tidak menjejaskan peluang untuk mengandung dan melahirkan anak.

Bagaimana isu ini bermula?

Satu kajian yang agak kontroversi telah dijalankan oleh Dr Jorge Chavarro dan rakan-rakannya dari Harvard School of Public Health, Brigham dan Women’s Hospital, Massachusetts General Hospital, dan Harvard Medical School. Ianya diterbitkan dalam Journal Human Reproduction. Kajian ini merupakan kajian cross-sectional, di mana ia cuba mengaitkan masalah kesuburan pada lelaki (bilangan sperma yg rendah) dengan pengambilan soya dalam diet.
Mereka telah melakukan kajian ini sepanjang tahun 2000-2006 di sebuah klinik kesuburan di Massachusetts General Hospital Fertility Centre dengan menjemput seramai 598 orang lelaki untuk mengambil bahagian. Daripada 598 orang yang dijemput, hanya 99 orang saja yang mengambil bahagian. Mereka kemudian diminta menyerahkan sampel air mani (sperma) untuk dianalisa jumlah air mani (ejaculation volume), jumlah sperma, kepekatan sperma, pergerakan sperma dan struktur sperma. Pemeriksaan kesihatan juga dilakukan.
Namun bagaimana pun peserta-peserta itu hanya diberikan kertas soalan yang berbentuk questionnaire bagi menentukan kekerapan mereka mengambil soya. Kebanyak peserta ini adalah terdiri daripada orang Eropah  Caucasian dan berumur secara purata 36.4 tahun.

Terdapat beberapa kelemahan terhadap kajian ini?

Daripada 99 lelaki yang mengambil bahagian, majoriti mereka (72%) adalah berlebihan berat badan (over weight), 74% tidak pernah merokok. Kajian sperma pula mendapati  42% adalah normal, 10% mempunyai bilangan sperma yang rendah (kurang daripada 20 juta/ml). Hanya 55%  lelaki yang mempunyai pergerakan sperma yang lemah. Manakala lelaki yang mempunyai sperma 42 juta/ml menafikan mengambil soya dalam pemakanan mereka. Berdasarkan pemerhatian ini Dr Jorge Chavarro merumuskan bahawa mereka yang mengambil soya dalam pemakanan mempunyai bilangan sperma yang kurang. Walau bagaimana pun kajian ini telah mendapat kritikan dari beberapa pengkaji yang lain. Antara alasan mereka ialah,
isipadu kajian ini adalah kecil, iaitu 99 orang sahaja yang mengambil bahagian. Apabila bilangan peserta kecil, maka sedikit perubahan dalam data akan memberikan peratusan yang tinggi dalam analisa. Sebagai contoh jika hanya 2 orang memberikan data yang berlainan, sebanyak 2% perubahan dalam pengumpulan data. Ini berbanding jika bilangan peserta berjumlah 1000 orang. Perubahan data yang diberikan oleh dua orang hanya merubahkan 0.2% dalam pengumpulan data yang dilakukan analisa. Teknik kajian cross-sectional tidak sesuai dalam kajian ini kerana mustahil boleh mengaitkan kualiti dan bilangan sperma dengan diet pemakanan. Para pengkritik bertanya adakah pengambilan soya menjadi sebab utama kepada masalah kesuburan itu, sedang para peserta ketika menjawab questionaire itu mungkin tidak mengingati jumlah pengambilan soya atau tidak mencatat (rekod) setiap kali mengambil soya. Kebanyakan peserta mempunyai berat yang berlebihan (overweight), sedang para saintist mengetahui bahawa berat badan yang berlebihan sememangnya mempengaruhi kesuburan, walaupun tidak mengambil soya di dalam pemakanan. Maka kajian ini tidak boleh mengaitkan kesuburan dan pengambilan soya dalam diet pemakanan untuk lelaki yang mempunyai berat yang ideal. Terdapat beberapa kritikan yang diberikan, termasuk pertanyaan yang menjadi tandatanya, iaitu di kalangan penduduk Asia, ramai lelaki yang mengambil soya sebagai diet pemakanan kerana ianya adalah sumber protein yang murah. Namun pengambilan soya tidak menjejaskan langsung penduduk India yang mengambil soya sebagai minuman, penduduk China yang mengambil taufu dalam makanan dan penduduk Indonesia (Jawa) yang mengambil tempe sebagai hidangan minuman petang mahu pun lauk dalam menu makanan tengah hari dan malam. Maka para pengkritik yang terdiri daripda ahli sains dan doktor perubatan menolak idea/kajian ini. Seharusnya kemandulan lelaki dikaitkan dengan konteks yang lebih luas lagi iaitu cara hidup (termasuk rokok dan alkohol), kegiatan seksualnya, kesihatan mereka secara menyeluruh dan aspek diet yang lebih memudaratkan iaitu diet pemakanan yang mempunyai banyak lemak dan karbohidrat. Bagi mereka yang tidak mempunyai masalah kesuburan, soya tidak akan memberikan kesan yang drastik. Maksudnya mereka tidak akan menjadi mandul semata-mata kerana mengambil soya atau produk soya dalam makanan.

Kesimpulan:

Pengambilan soya secara sederhana semestinya digalakkan dan ianya tidak akan memberikan kesan kemandulan. Pengambilan secara berlebihan mana-mana makanan juga tidak digalakkan, termasuk pengambilan soya. Harus juga diingatkan soya juga memberikan kesan positif yang lain pada tubuh dalam aspek kesihatan secara menyeluruh.

Rujukkan:
Kim, Lin-Keong (2005), Kacang Soya dan Kesihatan Wanita. Majalah Rapi, Edisi 1
Oktober 2005, Bilangan 29.

Erny Hernani Hashim (2005) Khasiat Kacang Soya Untuk Wanita. Majalah Rapi,
Edisi 1 Disember 2005, Bilangan 33.

Akhbar Utusan Malaysia keluaran 29 Jun 2008.

Zaki Khan, pemilik Fire Gym Health and Fitness Center yang berlokasi di 7-2, Jalan
Bandar Rawang 11, Bandar Baru Rawang, 48000 Rawang, Selangor Darul
Ehsan. 

Dr. Zubaidi Haji Ahmad, Doktor Perubatan Senior di Kumpulan Perubatan Penawar
Sdn Bhd (KPP).